Monday, December 5, 2016

KENYATAAN MEDIA LHDN: SEMAK STATUS SEKATAN PERJALANAN SEBELUM KE LUAR NEGARA





Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengambil maklum bahawa ramai dalam kalangan pembayar cukai telah membuat perancangan untuk bercuti ke luar negara pada musim cuti sekolah ini. Justeru bagi mengelakkan sebarang kesulitan di kaunter imigresen dan semua pintu keluar negara, pembayar cukai dinasihatkan untuk membuat semakan status sekatan perjalanan terlebih dahulu dan menjelaskan tunggakan cukai mereka.

Semakan boleh dilakukan melalui Portal Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seperti pautan yang berikut: http://sspi2.imi.gov.my/. Selain daripada semakan di portal rasmi imigresen, pemberitahuan tindakan sekatan perjalanan kepada pembayar cukai yang dikenakan sekatan perjalanan turut dikeluarkan kepada pembayar cukai secara pos berdaftar dan dihantar ke alamat mereka yang berdaftar dengan LHDNM. Sekatan perjalanan ke luar negara merupakan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh LHDNM berdasarkan peruntukan Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 terhadap pembayar cukai yang gagal membayar tunggakan cukai mereka walaupun notis peringatan telah diberikan. 

Mohon Pelepasan Tujuh Hari Sebelum Ke Luar Negara LHDNM juga ingin memaklumkan bahawa semua pembayar cukai yang disekat ke luar negara hendaklah membuat permohonan pelepasan daripada sekatan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh perjalanan ke luar negara. Bagi memohon pelepasan ini, pembayar cukai perlu: 
  • Hadir ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai mereka sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh perjalanan ke luar negara.
  • Mengemukakan surat permohonan yang mengandungi maklumat destinasi, tujuan, dan tempoh ke luar negara.
  • Membuat bayaran sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah cukai tertunggak dan membuat bayaran ansuran untuk baki selebihnya. 
Pembayar cukai juga boleh menyemak prosedur pelepasan tujuh hari ini di pautan http://lampiran.hasil.gov.my/pdf/pdfam/18_Sekatan_Perjlnan.pdf



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...