Friday, May 5, 2017

PENJELASAN CUKAI PENDAPATAN TERHADAP PEMANDU UBER DAN GRABCAR




1. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin menarik perhatian pihak media dan orang ramai mengenai isu cukai pendapatan yang dikenakan terhadap pemandu Uber dan GrabCar yang dilaporkan oleh media massa kebelakangan ini.

2. Harap maklum bahawa LHDNM melayani cukai pendapatan individu yang memandu Uber dan GrabCar sama seperti cukai pendapatan individu yang menjalankan perniagaan lain. Cukai pendapatan hanya akan dikenakan atas pendapatan bersih mereka daripada aktiviti memandu Uber  atau GrabCar serta pendapatan-pendapatan lain seperti gaji bulanan daripada pekerjaan tetap sekiranya ada

3. Sebagaimana layanan ke atas aktiviti perniagaan lain, pemandu Uber atau GrabCar boleh menuntut perbelanjaan seperti kos minyak kenderaan, kos tol, kos promosi, kos penyelenggaraan kenderaan yang digunakan dalam menghasilkan pendapatan dan bayaran yuran kepada syarikat pengendali aplikasi Uber atau GrabCar jika ada, dalam mengira pendapatan bersih daripada aktiviti tersebut.

4. LHDNM menasihatkan semua individu yang menjalankan aktiviti perniagaan sampingan seperti pemandu Uber dan GrabCar, guru tuisyen, kelas pengajian Al-Quran, makeup artist, peniaga online dan sebagainya untuk mendaftarkan fail cukai pendapatan mereka dengan LHDNM serta mengisytiharkan semua pendapatan tahunan yang mereka perolehi dalam Borang B selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun. Mereka juga hendaklah menyimpan semua dokumen perniagaan    mereka bagi tempoh tujuh tahun untuk tujuan audit percukaian pada masa hadapan sekiranya perlu.

5. Suka dinyatakan di sini bahawa tanggungjawab melaporkan pendapatan tersebut bukanlah bermakna Individu tersebut secara automatik layak membayar cukai. Kelayakan dikenakan cukai masih tertakluk kepada jumlah pendapatan tahunan melebihi RM30,000. Kadar cukai pendapatan pula dalam lingkungan 0% sehingga 28% bergantung kepada banjaran pendapatan bercukai yang mereka perolehi selepas mengambil kira pelepasan yang layak.

6. Pengisytiharan pendapatan bukan sahaja boleh mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang berdasarkan Akta Cukai Pendapatan 1967, malah rekod perisytiharan cukai pendapatan mereka juga dipercayai memberikan kelebihan kepada mereka untuk membuat permohonan pembiayaan dengan institusi kewangan.

7. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai isu ini boleh layari portal rasmi LHDN untuk khidmat nasihat percukaian.



Sumber: Kenyataan Media LHDNM, 31 Mac 2017
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...