Wednesday, January 27, 2016

195,170 Syarikat Perniagaan Tidak Perbaharui Pendaftaran Perniagaan Tahun Lepas - SSM


KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Sebanyak 195,170 syarikat dan premis perniagaan didapati tidak memperbaharui sijil perakuan pendaftaran perniagaan sepanjang tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, pihaknya mengenal pasti perkara itu menerusi pemeriksaan ke atas 1.05 juta (1,047,936) syarikat dan premis perniagaan sepanjang 2015.
"Selain tidak memperbaharui pendaftaran perniagaan, terdapat syarikat melanggar sembilan jenis kesalahan, antaranya tidak mempamerkan Sijil Perakuan Perniagaan, tidak mempamerkan nama perniagaan dan nombor pendaftaran serta tidak mencetakkan nama dan nombor pendaftaran syarikat pada resit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi pemeriksaan ke atas 100 premis di sebuah pusat beli-belah di sini, hariini.
Katanya, sebanyak 211 pemeriksaan dijalankan ke atas syarikat dan premis perniagaan yang melibatkan warga asing di seluruh negara sepanjang bulan ini.
"Daripada jumlah itu, 87 kesalahan dikenal pasti di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 1965," katanya.
Menurut Zahrah, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi menjalankan operasi lebih kerap pada masa depan.
"Kebiasaannya kami akan menjalankan operasi biasa setiap hari dengan mengunjungi premis perniagaan dan syarikat bagi memastikan mereka mematuhi piawaian yang ditetapkan," katanya.
Mengenai perniagaan dalam talian, Zahrah mengesa mana-mana pihak yang ingin menjalankan perniagaan seumpama itu supaya mendaftar dengan SSM walaupun berskala kecil kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan di bawah Akta Syarikat 1965.
"Kami bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi memantau perniagaan dalam talian," katanya.
Justeru, Zahrah berkata, SSM menganjurkan Karnival Usahawan Atas Talian SSM sebagai platform menggalakkan peniaga untuk mendaftar.
"Mereka yang ingin membuat permohonan pendaftaran perniagaan dalam talian, boleh melayari laman sesawang www.ssm.com.my bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

--BERNAMA


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...