KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Sebanyak 195,170
syarikat dan premis perniagaan didapati tidak memperbaharui sijil perakuan
pendaftaran perniagaan sepanjang tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia
(SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, pihaknya mengenal pasti perkara
itu menerusi pemeriksaan ke atas 1.05 juta (1,047,936) syarikat dan premis
perniagaan sepanjang 2015.
"Selain tidak memperbaharui pendaftaran perniagaan, terdapat syarikat
melanggar sembilan jenis kesalahan, antaranya tidak mempamerkan Sijil Perakuan
Perniagaan, tidak mempamerkan nama perniagaan dan nombor pendaftaran serta
tidak mencetakkan nama dan nombor pendaftaran syarikat pada resit,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi pemeriksaan
ke atas 100 premis di sebuah pusat beli-belah di sini, hariini.
Katanya, sebanyak 211 pemeriksaan dijalankan ke atas syarikat dan premis
perniagaan yang melibatkan warga asing di seluruh negara sepanjang bulan ini.
"Daripada jumlah itu, 87 kesalahan dikenal pasti di bawah Akta Pendaftaran
Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 1965," katanya.
Menurut Zahrah, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan
Pendaftaran Negara bagi menjalankan operasi lebih kerap pada masa depan.
"Kebiasaannya kami akan menjalankan operasi biasa setiap hari dengan
mengunjungi premis perniagaan dan syarikat bagi memastikan mereka mematuhi
piawaian yang ditetapkan," katanya.
Mengenai perniagaan dalam talian, Zahrah mengesa mana-mana pihak yang ingin
menjalankan perniagaan seumpama itu supaya mendaftar dengan SSM walaupun
berskala kecil kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka
dikenakan tindakan di bawah Akta Syarikat 1965.
"Kami bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi memantau
perniagaan dalam talian," katanya.
Justeru, Zahrah berkata, SSM menganjurkan Karnival Usahawan Atas Talian SSM
sebagai platform menggalakkan peniaga untuk mendaftar.
"Mereka yang ingin membuat permohonan pendaftaran perniagaan dalam talian,
boleh melayari laman sesawang www.ssm.com.my bagi mendapatkan maklumat
lanjut," katanya.
--BERNAMA
--BERNAMA