Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)
mengambil maklum bahawa ramai dalam kalangan pembayar cukai telah membuat
perancangan untuk bercuti ke luar negara pada musim cuti sekolah ini. Justeru
bagi mengelakkan sebarang kesulitan di kaunter imigresen dan semua pintu keluar
negara, pembayar cukai dinasihatkan untuk membuat semakan status sekatan
perjalanan terlebih dahulu dan menjelaskan tunggakan cukai mereka.
Semakan boleh dilakukan melalui Portal Rasmi
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seperti pautan yang berikut: http://sspi2.imi.gov.my/. Selain daripada
semakan di portal rasmi imigresen, pemberitahuan tindakan sekatan perjalanan
kepada pembayar cukai yang dikenakan sekatan perjalanan turut dikeluarkan
kepada pembayar cukai secara pos berdaftar dan dihantar ke alamat mereka yang
berdaftar dengan LHDNM. Sekatan perjalanan ke luar negara merupakan tindakan
penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh LHDNM berdasarkan peruntukan Seksyen 104
Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah
1976 terhadap pembayar cukai yang gagal membayar tunggakan cukai mereka
walaupun notis peringatan telah diberikan.
Mohon Pelepasan Tujuh Hari Sebelum Ke Luar
Negara LHDNM juga ingin memaklumkan bahawa semua pembayar cukai yang disekat ke
luar negara hendaklah membuat permohonan pelepasan daripada sekatan
sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh perjalanan ke luar negara. Bagi
memohon pelepasan ini, pembayar cukai perlu:
- Hadir
ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai mereka sekurang-kurangnya
tujuh hari sebelum tarikh perjalanan ke luar negara.
- Mengemukakan
surat permohonan yang mengandungi maklumat destinasi, tujuan, dan tempoh
ke luar negara.
- Membuat
bayaran sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah cukai tertunggak dan
membuat bayaran ansuran untuk baki selebihnya.
Pembayar cukai juga boleh menyemak prosedur
pelepasan tujuh hari ini di pautan http://lampiran.hasil.gov.my/pdf/pdfam/18_Sekatan_Perjlnan.pdf.