KUALA LUMPUR 1 Mei –
Peningkatan harga minyak dunia yang kini mencecah paras AS$65.84 (RM230.44)
setong, meningkat hampir AS$10 (RM35) setong berbanding pada akhir Mac lalu,
mendorong ringgit mencatatkan peningkatan bulanan tertinggi sepanjang April
iaitu prestasi terbaiknya sejak lebih tiga tahun.
Ringgit semalam ditutup pada
RM3.56 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding RM3.70 yang
didagangkan pada 31 Mac lalu, sekali gus menjadi mata wang Asia paling kukuh
sepanjang April.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank
Islam Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan harga
minyak memainkan peranan penting memandangkan sebarang peningkatan harga minyak
dunia mampu menyokong pendapatan kerajaan serta sektor minyak dan gas (O&G).
Syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) juga hanya akan membayar dividen sebanyak RM26 bilion kepada kerajaan secara berperingkat bagi tahun kewangan 2014, berbanding RM27 bilion bagi tahun kewangan sebelumnya. Syarikat itu sebelum ini menjangka hanya mampu memberi sumbangan dividen RM17 bilion bagi tahun kewangan 2015 jika harga purata minyak tahun ini berlegar sekitar AS$75 (RM270) setong. Sementara itu, mengikut laporan Bloomberg, Ketua Tukaran Wang Asing dan Pendapatan Tetap Macquarie Bank Ltd. yang berpangkalan di Singapura, Nizam Idris berkata, perkembangan harga minyak merupakan faktor penting yang menentukan prestasi ringgit.
“Bagaimanapun masih terdapat risiko yang boleh menurunkan kembali nilai ringgit jika bank pusat AS menaikkan kadar faedah negara itu yang sekali gus boleh mengukuhkan kembali dolar AS,” katanya kepada Utusan Malaysia. Hampir 30 peratus pendapatan kerajaan ketika ini disumbangkan oleh sektor O&G. Beberapa penganalisis sebelum ini mengaitkan penurunan nilai ringgit akibat kejatuhan harga minyak dunia yang menyusut lebih 50 peratus dalam tempoh enam bulan dari Jun 2014 hingga awal 2015.
Sumber Dari: Utusan Online
No comments:
Post a Comment