Thursday, March 5, 2015


Tiada tindakan jika peniaga daftar GST sebelum 28 Feb

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga yang berdaftar untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada selewat-lewatnya 28 Februari, 2015.

Bagaimanapun, tegas Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad, pihaknya akan menjalankan operasi secara besar-besaran pada 1 Mac, 2015 ke atas peniaga yang masih gagal mendaftar pada 28 Februari, termasuk mengambil tindakan undang-undang.

"Selaras dengan peruntukan di bawah Akta GST 2014, mana-mana peniaga yang masih gagal mendaftar pada 28 Februari itu akan didaftarkan secara paksaan dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka.

"Sehubungan itu, pihak Kastam memohon peniaga yang sepatutnya berdaftar di bawah GST mengambil peluang ini untuk mengelak tindakan undang-undang ke atas mereka yang lewat mendaftar," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Khazali, kelonggaran itu bertujuan membantu para peniaga di Malaysia.

"Ini berikutan terdapat banyak rayuan yang diterima daripada peniaga yang dalam persediaan melaksanakan sistem percukaian GST," katanya.

Mengikut undang-undang di bawah Seksyen 184 Akta GST 2014, syarikat yang mempunyai pembekalan bercukai melebihi RM500,000 perlu mendaftar. Mereka yang gagal berbuat demikian boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Mengulas sambutan terhadap GST, beliau berkata reaksi diterima amat menggalakkan dan sehingga 29 Januari 2015, sebanyak 308,400 syarikat telah pun berdaftar.

Kerajaan juga, kata Khazali, optimis GST dapat dilaksanakan dengan lancar apabila dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 April depan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...