Thursday, January 1, 2015

AKAUNTAN KESAL NAMA SYARIKAT DISALAH GUNA



IPOH – Seorang pengarah syarikat perakaunan mendakwa sebuah syarikat pemaju perumahan di Ipoh menyalah guna nama syarikatnya. Pengarah My & Co, Michael Yeoh Nam Kooi berkata, syarikatnya tiada kaitan dengan sebuah syarikat hartanah yang beroperasi di Ipoh sejak 2009 terbabit.

“Saya ingin tegaskan syarikat saya tidak terlibat sama sekali dengan syarikat pemaju berkenaan apatah lagi mengaudit segala akaun milik syarikat berkenaan seperti didakwa oleh syarikat terbabit. “Syarikat itu melangkaui saya malah mempergunakan nama syarikat saya untuk kepentingan mereka tanpa persetujuan atau kerelaan saya. "Saya juga tidak tahu menahu berkaitan sebarang audit di syarikat tersebut,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, di sini.

Nam Kooi berkata, dia mengetahui nama syarikatnya disalah guna melalui seorang pelanggannya dan selepas menerima panggilan daripada sebuah bank di Kuala Lumpur. “Beberapa bank ada menghubungi saya untuk meminta pengesahan adakah ‘pembeli’ yang mahu membuat pinjaman di bank itu ingin membeli rumah daripada syarikat pemaju terbabit dan situlah saya berasa pelik. “Setelah semakan dibuat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan hasil makluman rakan, saya mendapati syarikat itu menggunakan nama syarikat saya tanpa pengetahuan saya sejak 2009,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam berhubung perkara terbabit pada 9 September 2013 kerana ia melibatkan nama baik syarikatnya. Katanya, dia juga sudah mengadu kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) namun belum menerima sebarang maklum balas. Sementara itu, Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah memohon supaya pihak berkuasa segera menyiasat kes itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...