Friday, August 22, 2014

LHDN berjaya kesan 1,748 syarikat lari cukai


KUALA LUMPUR - Kerajaan hampir-hampir kerugian sekitar RM2.02 bilion akibat perbuatan 1,748 syarikat pelbagai sektor yang dikesan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cuba lari cukai dalam tempoh tiga tahun sejak 2011.
    
Pengarah Jabatan Siasatan LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, bagaimanapun hasil audit pematuhan cukai yang dijalankan oleh LHDN, kerajaan bukan sahaja memperoleh semula hasil itu tetapi juga bayaran penalti berjumlah RM1.3 bilion daripada syarikat terbabit.

Semua syarikat berkenaan melakukan pelarian cukai tidak nyata dan tindakan yang dikenakan terhadap mereka ialah secara sivil di luar mahkamah iaitu perlu membayar cukai taksiran tambahan serta penalti, katanya kepada Bernama di sini.
    
Menurut Mohd Nizom, LHDN juga mengambil tindakan jenayah jika terdapat bukti kukuh sesebuah syarikat melakukan pelarian cukai yang menuntut pembayaran cukai taksiran tambahan dan penalti, selain pemilik berdepan hukuman penjara.
    
Mohd Nizom berkata, antara modus operandi syarikat yang cuba lari daripada membayar cukai ialah membuat tuntutan pembelian dan perbelanjaan palsu, tidak melaporkan jualan atau mengurangkan jualan yang dilapor, selain tuntutan elaun berlebihan atau tuntutan elaun tidak layak.
    

"Ada yang cuba laporkan sebahagian sahaja daripada keuntungan... mungkin transaksi jualan tunai tanpa resit yang dilakukan tidak dimasukkan dalam akaun, serta meningkatkan perbelanjaan belian kononnya untuk perniagaan," katanya.
    
Menurutnya ada juga antara syarikat terbabit menuntut potongan yang tidak sepatutnya atau secara berlebihan seperti elaun modal dan tuntutan insentif yang tidak layak.
    
Katanya bagi pembayar cukai yang tetap enggan melunaskan bayaran tambahan cukai dan penalti, LHDN akan menggunakan peruntukan menurut Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk menghalang mereka ke luar negara dan kaveat harta pembayar cukai bagi melunaskan tunggakan.
    
Mohd Nizom berkata, meskipun sukar untuk menentukan jumlah pelarian cukai yang tepat setiap tahun, LHDN sentiasa mempergiat usaha untuk memastikan jumlah cukai sebenar yang perlu dibayar dapat dikutip mengikut tempoh yang ditetapkan.
    
Menurutnya susulan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri untuk syarikat pada 2001, LHDN menguatkuasakan audit pematuhan.
     
"Selepas audit dilakukan dan kalau kita kesan ada berlakunya taksiran kurang, melaporkan tidak betul, atau tidak melaporkan yang dengan sengaja dilakukan untuk mengurangkan cukai yang dikenakan terhadapnya, kita akan betulkan semula dan taksirkan cukai tambahan berserta dengan penalti," katanya.
    
Beliau berkata LHDN mempertingkat penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan fungsi dan peranannya disedari oleh pembayar cukai, sekali gus dapat menghindari kegiatan pelarian cukai.
       
Mohd Nizom berkata, orang ramai boleh melaporkan kegiatan pelarian cukai pendapatan kepada LHDN menerusi surat atau e-mel ke pelariancukai@hasil.gov.my, atau menghubungi talian 03-83138888, sambungan 20601/20607 atau hadir ke ibu pejabat LHDN di Cyberjaya atau mana-mana Pejabat Pengarah Negeri LHDN berhampiran.

Maklumat dan identiti pengadu adalah rahsia dan setiap aduan akan diteliti serta disiasat sewajarnya, katanya. - Bernama


Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/lhdn-berjaya-kesan-1-748-syarikat-lari-cukai-1.297585

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...