Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara termasuk
Singapura layak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui
Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M) sebagai tabungan di hari tua.
Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP cawangan Johor,
Faizal Abu Al-Ashari berkata kemudahan itu diberi kepada mereka yang berusia 55
tahun ke bawah bagi mendaftar sebagai pencarum KWSP untuk membuat simpanan dan
menikmati keselesaan apabila mencapai umur persaraan.
Ianya sekali gus menyangkal persepsi bahawa rakyat Malaysia yang
bekerja di luar negara tidak berkelayakan untuk membuat simpanan dengan KWSP.
"Sebenarnya mereka masih boleh menyimpan dengan KWSP. SP1M
diperkenal untuk menggalakkan golongan yang bekerja sendiri dan tiada
pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela mengikut kemampuan, termasuk
rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara," katanya kepada Bernama.
Tambahnya, tiada jumlah tetap dikenakan untuk skim berkenaan
yang mana pencarum KWSP boleh membuat caruman antara RM50 hingga RM60,000
setahun pada bila-bila masa mengikut kemampuan dan akan menerima dividen
tahunan sama seperti pencarum lain mengikut kadar semasa.
Faizal berkata pendaftaran boleh dibuat di KWSP dengan mengisi
borang khas dan bayaran sama ada di kaunter KWSP, ejen bank iaitu Malayan
Banking Bhd (Maybank), Public Bank Bhd, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional
serta secara ‘dalam talian’ di Maybank atau Public Bank.
Katanya, selain SP1M, mereka yang berminat dan berkelayakan
boleh membuat simpanan peribadi melalui kaedah simpanan caruman sukarela.
Setakat tahun lepas, sejumlah 65 peratus daripada pencarum KWSP
berusia 54 tahun mempunyai simpanan sebanyak RM50,000 dan ke bawah, yang mana
kebanyakan ahli menghabiskan wang simpanan KWSP mereka dalam jangka masa tiga
hingga lima tahun.
Bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan
merancang untuk persaraan, RAS bertindak untuk memberi khidmat nasihat serta
bimbingan kepada pencarum KWSP secara percuma.
RAS merupakan khidmat pertama seumpamanya di rantau Asia
Tenggara dan merupakan inisiatif di bawah Kecemerlangan Keselamatan Sosial,
Pelan Perancangan Strategik KWSP 2013-2017.
Sejak dilancarkan pada 2014 hingga Ogos tahun ini, sejumlah
17,805 ahli KWSP telah mendapatkan khidmat nasihat RAS secara bersemuka di
cawangan KWSP.
"RAS cawangan Johor dibuka secara rasmi pada Oktober tahun
lepas.
Sejumlah 1,500 ahli telah tampil ke cawangan kami bagi
mendapatkan khidmat nasihat mengenai perancangan simpanan mereka.
Di Johor, pelanggan yang mendapatkan khidmat nasihat terdiri
daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan latar belakang antaranya
kakitangan kerajaan, swasta, pekerja kilang serta bekerja sendiri,"
katanya.
Beliau berkata mereka sangat berpuas hati dan kebanyakannya
lebih faham dan sedar akan kepentingan merancang kewangan dan persaraan.
Faizal berkata antara persoalan yang kerap diaju pelanggan yang
mengunjungi kaunter RAS di Johor adalah mengenai jumlah wang simpanan yang
perlu ada selepas persaraan, anggaran sama ada wang persaraan mereka mencukupi
atau tidak serta produk dan perkhidmatan terkini KWSP.
Katanya, terdapat dua pendekatan yang digunakan pegawai RAS
ketika memberi khidmat nasihat kepada ahli KWSP iaitu Perancangan Persaraan
kepada ahli yang berumur 35 tahun ke atas, dan Perancangan Kewangan bagi ahli
yang berumur 35 tahun ke bawah.
"Berdasarkan situasi yang dikendalikan, cabaran
utama yang dihadapi rakyat Malaysia adalah pertama, mengenai Perancangan
Kewangan iaitu tentang dana persaraan yang tidak mencukupi, mempertimbangkan
untuk melambat persaraan dan terus bekerja selama mana yang boleh.
Kedua, Perancangan Persaraan yang mana mereka
merancang untuk menggunakan simpanan persaraan mereka dengan cara yang boleh
menjana pendapatan sepanjang hayat," katanya.