Tuesday, December 27, 2011

Setiausaha Syarikat Perlu Berani Nasihat Lembaga Pengarah -- CEO CCM


Setiausaha Syarikat perlu berani membuat keputusan semasa menasihat lembaga pengarah bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Datuk Azmi Ariffin berkata Setiausaha Syarikat mempunyai tanggungjawab yang besar dalam melaksanakan tugas mereka secara profesional dan dengan integriti yang tinggi. Beliau berkata demikian sebagai merujuk satu kes Setiausaha Syarikat yang disabitkan kesalahan oleh Mahkamah baru-baru ini. "Dalam kes itu, Mahkamah Rayuan pada 16 Jun, 2011, mengekalkan sabitan Mahkamah Tinggi terhadap Setiausaha Syarikat yang berpengetahuan mengenai kenyataan palsu dalam Borang 24, berhubung peruntukan saham baru dibayar sepenuhnya," kata beliau semasa merasmikan persidangan tahunan Institut Setiausaha dan Pentadbir Berkanun Malaysia di sini pada Isnin. Azmi berkata Mahkamah Rayuan juga memutuskan yang maklumat dalam Borang 24, perlu direkodkan secara tepat bagi mencerminkan status sebenar modal berbayar syarikat. "Dalam hal ini, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pembayaran melalui cek bagi tujuan melanggan saham syarikat tidak boleh dianggap sebagai pembayaran efektif sehingga cek itu ditunaikan atau dibayar," katanya. Di Mahkamah Tinggi, setiausaha syarikat itu didenda RM30,000 atau tiga bulan penjara. "Atas sabitan berkenaan, Setiausaha Syarikat itu kini tidak layak untuk memegang mana-mana jawatan pengarah selama lima tahun dan untuk bertindak sebagai Setiausaha Syarikat di Malaysia," katanya. Azmi juga menyeru Setiausaha Syarikat supaya melihat melangkaui peranan tradisional mereka dan daripada persepsi bahawa mereka hanya pentadbir kanan syarikat.
Bernama
Tuesday, 5 July 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...