Monday, December 20, 2010

PERMOHONAN FIRMA AUDIT BATAL SAMAN RM100j MIED DITOLAK



KUALA LUMPUR 20 Dis. – Sebuah firma audit hari ini gagal membatalkan saman RM100 juta oleh Maju Institute of Education Development (MIED) terhadapnya dan pengerusi institusi itu, Datuk Seri S. Samy Vellu serta tujuh pemegang amanah MIED berhubung dakwaan melakukan penyelewengan sehingga menyebabkan kerugian.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim menolak permohonan Kumpulan Naga selepas mendengar hujah peguam Jacob Rabindran dan David Gurupatham, yang mewakili firma itu serta A. Vasanthi bagi MIED.

David memberitahu pemberita bahawa hakim berkenaan memutuskan sebagai firma audit, Kumpulan Naga berkewajipan menjelaskan kepada MIED bagaimana kerugian dan percanggahan dalam akaun institusi itu tidak diketahui sejak 1995 hingga 2009.

Vasanthi pula berkata, mahkamah menetapkan 11 Januari depan untuk pengurusan kes bagi membolehkan semua pihak hadir menentukan tarikh perbicaraan.

Berikutan keputusan itu, Kumpulan Naga kekal sebagai defendan kesembilan dalam saman MIED yang turut menamakan Samy Vellu, Tan Sri M. Mahalingam, Tan Sr Dr T. Marimuthu, Tan Sri Dr S.K. Ampikaipakam, Datuk G. Palanivel, Tan Sri Dr Karnail Singh Nijhar, Tan Sri K. Kumaran dan Tan Sri G. Vadiveloo sebagai defendan. – Bernama

Utusan 20 December 2010

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...