Sunday, May 10, 2015

Ringgit catat prestasi terbaik

KUALA LUMPUR 1 Mei – Peningkatan harga minyak dunia yang kini mencecah paras AS$65.84 (RM230.44) setong, meningkat hampir AS$10 (RM35) setong berbanding pada akhir Mac lalu, mendorong ringgit mencatatkan peningkatan bulanan tertinggi sepanjang April iaitu prestasi terbaiknya sejak lebih tiga tahun.
Ringgit semalam ditutup pada RM3.56 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding RM3.70 yang didagangkan pada 31 Mac lalu, sekali gus menjadi mata wang Asia paling kukuh sepanjang April.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan harga minyak memainkan peranan penting memandangkan sebarang peningkatan harga minyak dunia mampu menyokong pendapatan kerajaan serta sektor minyak dan gas (O&G).

Syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) juga hanya akan membayar dividen sebanyak RM26 bilion kepada kerajaan secara berperingkat bagi tahun kewa­ngan 2014, berbanding RM27 bilion bagi tahun kewangan sebelumnya. Syarikat itu sebelum ini menjangka hanya mampu memberi sumbangan dividen RM17 bilion bagi tahun kewangan 2015 jika harga purata minyak tahun ini berlegar sekitar AS$75 (RM270) setong. Sementara itu, mengikut laporan Bloomberg, Ketua Tukaran Wang Asing dan Pendapatan Tetap Macquarie Bank Ltd. yang berpangkalan di Singapura, Nizam Idris berkata, perkembangan harga minyak merupakan faktor penting yang menentukan prestasi ringgit. 

 
“Bagaimanapun masih terdapat risiko yang boleh menurunkan kembali nilai ringgit jika bank pusat AS menaikkan kadar faedah negara itu yang sekali gus boleh mengukuhkan kembali dolar AS,” katanya kepada Utusan Malaysia. Hampir 30 peratus pendapatan kerajaan ketika ini disumbangkan oleh sektor O&G. Beberapa penganalisis sebelum ini mengaitkan penurunan nilai ringgit akibat kejatuhan harga minyak dunia yang menyusut lebih 50 peratus dalam tempoh enam bulan dari Jun 2014 hingga awal 2015.

Sumber Dari: Utusan Online


Monday, April 6, 2015

Perbezaan antara GST dan SST

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan dalam masa beberapa minggu lagi bagi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang digunakan sekarang.

Cukai  SST adalah cukai satu aras yang mana cukai ini hanya dikenakan kepada pengilang sahaja dan tidak boleh dituntut.Cukai ini  dianggap sebagai kos kepada perniagaan.

GST pula adalah cukai yang dikenakan kepada pengguna yang menggunakan barang dan perkhidmatan di setiap peringkat rantaian sehingga pengguna.

Berikut adalah perbezaan antara GST dan SST:






Sumber Dari: ASTRO AWANI

Sunday, March 22, 2015

Label harga barang perlu disertakan caj GST - Fomca



KUALA LUMPUR: Bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa penipuan, kerajaan perlu mewajibkan peniaga melabelkan kesemua barangan sama ada yang dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau yang tidak. 

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata label tersebut perlu diletakkan pada tanda harga yang dipamerkan.

"Ia untuk kemudahan pengguna, contohnya pada tanda harga setiap barangan yang dikenakan cukai itu harus diletakkan harga sebelum dan selepas CBP (GST)," katanya ketika dihubungiBernama.

Namun Mohd Yusof berkata, perkara mengenai GST bukan hanya terletak di bahu peniaga sebaliknya pengguna terlebih dahulu perlu merujuk kepada buku 'Panduan Harga Pengguna' yang telah diterbitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bersama Kementerian Kewangan.

Sebanyak dua juta naskhah telah diedarkan sejak Januari lepas yang menyenaraikan 500 barangan terpilih yang dikenakan GST.

Buku tersebut boleh didapati di setiap pejabat negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Selain itu, Mohd Yusof berkata pengguna perlu membiasakan diri menyemak semula harga pada resit pembelian dengan harga yang ditetapkan di dalam buku tersebut. 

"Pengguna perlu sentiasaalert(waspada) dengan harga semasa, harga yang dipamerkan oleh peniaga dan harga yang tertera pada resit, supaya peniaga tidak mempunyai ruang untuk memanipulasi harga," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Mohd Roslan Mahayuddin berkata pihaknya sentiasa mengharapkan aduan daripada orang ramai jika terdapat salah laku peniaga berhubung GST.

"Setiap aduan yang kita terima kita akan membuat pemeriksaan dan jika didapati peniaga melanggar Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011 akan dikenakan tindakan," katanya.

Di bawah akta tersebut sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk orang perseorangan, manakala untuk syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

Sebelum ini, Menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek mengumumkan satu sistem aplikasi telefon pintar iaitu 'EZ Complaint' bakal dilaksanakan bulan hadapan bagi pengguna menyalurkan aduan berkaitan GST.

"Aplikasi itu membolehkan pengguna menyalurkan aduan mereka dalam bentuk gambar sebagai bukti terus ke sistem E-Aduan," katanya.

Tuesday, March 10, 2015

Hanya 17,000 PKS Tebus eBaucar Untuk Pembelian Perisian Perakaunan CBP

Hanya 17,000 PKS Tebus eBaucar Untuk Pembelian Perisian Perakaunan CBP

PUTRAJAYA: Hanya 17,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah membuat penebusan eBaucar untuk pembelian perisian perakaunan cukai barang dan perkhidmatan (CBP) berbanding 150,000 syarikat yang menerimanya.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata baucar bernilai RM1,000 setiap satu itu diberikan kepada PKS untuk membeli perisian yang mematuhi sistem perakaunan CBP daripada 77 vendor yang dilantik.

Beliau berkata eBaucar yang diuruskan di bawah SME Corp, diperkenalkan sebagai kaedah pantas, segera dan cekap bagi menyebarkan geran kepada PKS untuk membeli atau menaik taraf kepada perisian mematuhi CBP, untuk bersiap sedia bagi pelaksanaan cukai itu pada 1 April ini.

"eBaucar tersebut telah dihantar melalui emel kepada syarikat PKS yang layak dan kita harap mereka menggunakan baucar yang diberikan itu," katanya kepada media selepas majlis Penyampaian Sijil kepada Vendor Sistem Perakaunan Untuk CBP, di sini, Jumaat.
Sementara itu, Ahmad berkata sehingga Khamis, bilangan syarikat yang mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk CBP adalah sebanyak 311,658.
"Namun sekitar 50,000 lagi syarikat masih belum membuat pendaftaran dan mereka ini bakal berdepan kompaun sehingga RM15,000 jika gagal berbuat demikian selepas 28 Februari selain akan didaftarkan 'secara paksa'," katanya. 

"Mereka yang sepatutnya membuat pendaftaran cukai baharu itu dan tidak boleh mengelak kerana kita ada data dan maklumat mengenai syarikat mereka yang diperoleh daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya.

Ahmad berkata mereka yang masih lagi gagal untuk mendaftar mungkin terkeliru mengenai kelayakan bagi pendaftaran CBP. 

"Kita mahu memperjelaskan sekali lagi bahawa minimum RM500,000 ke atas itu bukan nilai keuntungan setahun tetapi adalah nilai jualan mereka setahun," katanya.

Beliau berkata entiti yang masih belum mendaftar bagi CBP itu juga mungkin terkeliru dengan pelepasan beberapa barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai baru itu.

"Sebagai contoh, walaupun pendidikan dan rumah kediaman tidak dikenakan CBP, namun pengusaha pusat tuisyen dan kontraktor masih perlu membayar cukai dan jika nilai jualan melebihi RM500,000 mereka perlu membuat pendaftaran GST," katanya.

Sumber dari: http://www.mstar.com.my

Thursday, March 5, 2015


Tiada tindakan jika peniaga daftar GST sebelum 28 Feb

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga yang berdaftar untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada selewat-lewatnya 28 Februari, 2015.

Bagaimanapun, tegas Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad, pihaknya akan menjalankan operasi secara besar-besaran pada 1 Mac, 2015 ke atas peniaga yang masih gagal mendaftar pada 28 Februari, termasuk mengambil tindakan undang-undang.

"Selaras dengan peruntukan di bawah Akta GST 2014, mana-mana peniaga yang masih gagal mendaftar pada 28 Februari itu akan didaftarkan secara paksaan dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka.

"Sehubungan itu, pihak Kastam memohon peniaga yang sepatutnya berdaftar di bawah GST mengambil peluang ini untuk mengelak tindakan undang-undang ke atas mereka yang lewat mendaftar," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Khazali, kelonggaran itu bertujuan membantu para peniaga di Malaysia.

"Ini berikutan terdapat banyak rayuan yang diterima daripada peniaga yang dalam persediaan melaksanakan sistem percukaian GST," katanya.

Mengikut undang-undang di bawah Seksyen 184 Akta GST 2014, syarikat yang mempunyai pembekalan bercukai melebihi RM500,000 perlu mendaftar. Mereka yang gagal berbuat demikian boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Mengulas sambutan terhadap GST, beliau berkata reaksi diterima amat menggalakkan dan sehingga 29 Januari 2015, sebanyak 308,400 syarikat telah pun berdaftar.

Kerajaan juga, kata Khazali, optimis GST dapat dilaksanakan dengan lancar apabila dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 April depan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...