Friday, May 5, 2017

PENJELASAN CUKAI PENDAPATAN TERHADAP PEMANDU UBER DAN GRABCAR




1. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin menarik perhatian pihak media dan orang ramai mengenai isu cukai pendapatan yang dikenakan terhadap pemandu Uber dan GrabCar yang dilaporkan oleh media massa kebelakangan ini.

2. Harap maklum bahawa LHDNM melayani cukai pendapatan individu yang memandu Uber dan GrabCar sama seperti cukai pendapatan individu yang menjalankan perniagaan lain. Cukai pendapatan hanya akan dikenakan atas pendapatan bersih mereka daripada aktiviti memandu Uber  atau GrabCar serta pendapatan-pendapatan lain seperti gaji bulanan daripada pekerjaan tetap sekiranya ada

3. Sebagaimana layanan ke atas aktiviti perniagaan lain, pemandu Uber atau GrabCar boleh menuntut perbelanjaan seperti kos minyak kenderaan, kos tol, kos promosi, kos penyelenggaraan kenderaan yang digunakan dalam menghasilkan pendapatan dan bayaran yuran kepada syarikat pengendali aplikasi Uber atau GrabCar jika ada, dalam mengira pendapatan bersih daripada aktiviti tersebut.

4. LHDNM menasihatkan semua individu yang menjalankan aktiviti perniagaan sampingan seperti pemandu Uber dan GrabCar, guru tuisyen, kelas pengajian Al-Quran, makeup artist, peniaga online dan sebagainya untuk mendaftarkan fail cukai pendapatan mereka dengan LHDNM serta mengisytiharkan semua pendapatan tahunan yang mereka perolehi dalam Borang B selewat-lewatnya pada 30 Jun setiap tahun. Mereka juga hendaklah menyimpan semua dokumen perniagaan    mereka bagi tempoh tujuh tahun untuk tujuan audit percukaian pada masa hadapan sekiranya perlu.

5. Suka dinyatakan di sini bahawa tanggungjawab melaporkan pendapatan tersebut bukanlah bermakna Individu tersebut secara automatik layak membayar cukai. Kelayakan dikenakan cukai masih tertakluk kepada jumlah pendapatan tahunan melebihi RM30,000. Kadar cukai pendapatan pula dalam lingkungan 0% sehingga 28% bergantung kepada banjaran pendapatan bercukai yang mereka perolehi selepas mengambil kira pelepasan yang layak.

6. Pengisytiharan pendapatan bukan sahaja boleh mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang berdasarkan Akta Cukai Pendapatan 1967, malah rekod perisytiharan cukai pendapatan mereka juga dipercayai memberikan kelebihan kepada mereka untuk membuat permohonan pembiayaan dengan institusi kewangan.

7. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai isu ini boleh layari portal rasmi LHDN untuk khidmat nasihat percukaian.



Sumber: Kenyataan Media LHDNM, 31 Mac 2017

Wednesday, March 8, 2017

Datuk Seri Vida didenda RM500


Rabu, 8 Mac 2017 

IPOH: Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang B) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).



Hasmiza membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Hanum Mohamad Sah. Dia didakwa gagal mengemukakan Borang B bagi tahun taksiran 2011 walaupun notis akhir mengikut Seksyen 78 (a) Akta Cukai Pendapatan 1967 sudah diserahkan kepadanya.


Siti Hanum kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500 dan penjara dua hari jika gagal membayar denda berkenaan. Hasmiza kemudiannya membayar denda berkenaan dan berjanji akan mengemukakan Borang B taksiran tahun 2011 dalam tempoh sebulan dari tarikh jatuh hukum.

Selanjutnya di : 
http://www.bharian.com.my/node/257513

Wednesday, January 18, 2017

LHDN KUTIP LEBIH RM114 BILION CUKAI LANGSUNG TAHUN LALU


Diterbitkan: Isnin, 16 Januari 2017 12:10 PM
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip lebih daripada RM114 bilion cukai langsung pada 2016, merosot sedikit berbanding RM116.8 bilion yang dikumpul pada 2015.
Timbalan Ketua Pengawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN Datuk Mohd Nizom Sairi berkata jumlah kutipan tersebut susut sedikit berbanding RM115 bilion yang di sasarkan untuk tahun 2016 berikutan kelembapan ekonomi serta harga minyak dunia yang tidak menentu.
"Prestasi ekonomi negara dan di seluruh dunia, menerima kesan negatif daripada penurunan harga petroleum sejak pertengahan 2014.
"Ia bukan sahaja memberi kesan ke atas industri minyak secara langsung, malah turut memberi kesan kepada sektor ekonomi secara keseluruhannya. Oleh itu, kutipan hasil 2016 turun berbanding pencapaian 2015," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kunjungan Mesra Hasil Peringkat Nasional di sini Isnin.
Susulan pengubahsuaian Bajet 2016, kajian semula kedua Kementerian Kewangan mengunjurkan kutipan cukai langsung untuk 2016 sebanyak RM115 bilion.

Untuk 2017, LHDN menyasarkan untuk mengutip sebanyak RM127 bilion cukai langsung, selari dengan jumlah yang diunjurkan oleh kerajaan dalam Bajet 2017. - BERNAMA

Thursday, January 5, 2017

Warga Malaysia di luar negara layak mencarum KWSP

Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara termasuk Singapura layak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M) sebagai tabungan di hari tua.

Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP cawangan Johor, Faizal Abu Al-Ashari berkata kemudahan itu diberi kepada mereka yang berusia 55 tahun ke bawah bagi mendaftar sebagai pencarum KWSP untuk membuat simpanan dan menikmati keselesaan apabila mencapai umur persaraan.
Ianya sekali gus menyangkal persepsi bahawa rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara tidak berkelayakan untuk membuat simpanan dengan KWSP.
"Sebenarnya mereka masih boleh menyimpan dengan KWSP. SP1M diperkenal untuk menggalakkan golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela mengikut kemampuan, termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara," katanya kepada Bernama.
Tambahnya, tiada jumlah tetap dikenakan untuk skim berkenaan yang mana pencarum KWSP boleh membuat caruman antara RM50 hingga RM60,000 setahun pada bila-bila masa mengikut kemampuan dan akan menerima dividen tahunan sama seperti pencarum lain mengikut kadar semasa.
Faizal berkata pendaftaran boleh dibuat di KWSP dengan mengisi borang khas dan bayaran sama ada di kaunter KWSP, ejen bank iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), Public Bank Bhd, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional serta secara ‘dalam talian’ di Maybank atau Public Bank.
Katanya, selain SP1M, mereka yang berminat dan berkelayakan boleh membuat simpanan peribadi melalui kaedah simpanan caruman sukarela.
Setakat tahun lepas, sejumlah 65 peratus daripada pencarum KWSP berusia 54 tahun mempunyai simpanan sebanyak RM50,000 dan ke bawah, yang mana kebanyakan ahli menghabiskan wang simpanan KWSP mereka dalam jangka masa tiga hingga lima tahun.
Bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan merancang untuk persaraan, RAS bertindak untuk memberi khidmat nasihat serta bimbingan kepada pencarum KWSP secara percuma.
RAS merupakan khidmat pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara dan merupakan inisiatif di bawah Kecemerlangan Keselamatan Sosial, Pelan Perancangan Strategik KWSP 2013-2017.
Sejak dilancarkan pada 2014 hingga Ogos tahun ini, sejumlah 17,805 ahli KWSP telah mendapatkan khidmat nasihat RAS secara bersemuka di cawangan KWSP.
"RAS cawangan Johor dibuka secara rasmi pada Oktober tahun lepas.
Sejumlah 1,500 ahli telah tampil ke cawangan kami bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai perancangan simpanan mereka.
Di Johor, pelanggan yang mendapatkan khidmat nasihat terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan latar belakang antaranya kakitangan kerajaan, swasta, pekerja kilang serta bekerja sendiri," katanya.
Beliau berkata mereka sangat berpuas hati dan kebanyakannya lebih faham dan sedar akan kepentingan merancang kewangan dan persaraan.
Faizal berkata antara persoalan yang kerap diaju pelanggan yang mengunjungi kaunter RAS di Johor adalah mengenai jumlah wang simpanan yang perlu ada selepas persaraan, anggaran sama ada wang persaraan mereka mencukupi atau tidak serta produk dan perkhidmatan terkini KWSP.
Katanya, terdapat dua pendekatan yang digunakan pegawai RAS ketika memberi khidmat nasihat kepada ahli KWSP iaitu Perancangan Persaraan kepada ahli yang berumur 35 tahun ke atas, dan Perancangan Kewangan bagi ahli yang berumur 35 tahun ke bawah.
"Berdasarkan situasi yang dikendalikan, cabaran utama yang dihadapi rakyat Malaysia adalah pertama, mengenai Perancangan Kewangan iaitu tentang dana persaraan yang tidak mencukupi, mempertimbangkan untuk melambat persaraan dan terus bekerja selama mana yang boleh.
Kedua, Perancangan Persaraan yang mana mereka merancang untuk menggunakan simpanan persaraan mereka dengan cara yang boleh menjana pendapatan sepanjang hayat," katanya.
- Bernama


Monday, December 5, 2016

KENYATAAN MEDIA LHDN: SEMAK STATUS SEKATAN PERJALANAN SEBELUM KE LUAR NEGARA





Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengambil maklum bahawa ramai dalam kalangan pembayar cukai telah membuat perancangan untuk bercuti ke luar negara pada musim cuti sekolah ini. Justeru bagi mengelakkan sebarang kesulitan di kaunter imigresen dan semua pintu keluar negara, pembayar cukai dinasihatkan untuk membuat semakan status sekatan perjalanan terlebih dahulu dan menjelaskan tunggakan cukai mereka.

Semakan boleh dilakukan melalui Portal Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seperti pautan yang berikut: http://sspi2.imi.gov.my/. Selain daripada semakan di portal rasmi imigresen, pemberitahuan tindakan sekatan perjalanan kepada pembayar cukai yang dikenakan sekatan perjalanan turut dikeluarkan kepada pembayar cukai secara pos berdaftar dan dihantar ke alamat mereka yang berdaftar dengan LHDNM. Sekatan perjalanan ke luar negara merupakan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh LHDNM berdasarkan peruntukan Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 terhadap pembayar cukai yang gagal membayar tunggakan cukai mereka walaupun notis peringatan telah diberikan. 

Mohon Pelepasan Tujuh Hari Sebelum Ke Luar Negara LHDNM juga ingin memaklumkan bahawa semua pembayar cukai yang disekat ke luar negara hendaklah membuat permohonan pelepasan daripada sekatan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh perjalanan ke luar negara. Bagi memohon pelepasan ini, pembayar cukai perlu: 
  • Hadir ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai mereka sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh perjalanan ke luar negara.
  • Mengemukakan surat permohonan yang mengandungi maklumat destinasi, tujuan, dan tempoh ke luar negara.
  • Membuat bayaran sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah cukai tertunggak dan membuat bayaran ansuran untuk baki selebihnya. 
Pembayar cukai juga boleh menyemak prosedur pelepasan tujuh hari ini di pautan http://lampiran.hasil.gov.my/pdf/pdfam/18_Sekatan_Perjlnan.pdf



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...