Tuesday, November 22, 2016

Isu pembayaran balik GST hampir selesai

KUALA LUMPUR: Isu bayaran balik khas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kini hampir selesai dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa selaras dengan syarat ditetapkan di bawah sub-seksyen 190(1), Akta GST.

 Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, mengakui sememangnya wujud kesulitan dari segi pelaksanaan bayaran balik pada peringkat pelaksanaan GST pada April tahun lalu. Namun bermula tahun ini, katanya, masalah yang berkenaan, kebanyakannya berkaitan proses dokumentasi, sudah diselesaikan secara berperingkat oleh agensi pelaksana iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Kena faham GST adalah sistem percukaian yang baru setahun dilaksanakan, mesti ada kelemahan pelaksanaan pada peringkat awal seperti cara mengisi borang dan pengesahan dokumentasi, ini yang menyebabkan kelewatan sering berlaku. "Laporan Jabatan Audit yang dikeluarkan hari ini (semalam) mengenai kelewatan ini adalah merujuk kepada beberapa kes tahun lalu dan awal tahun ini. Namun ketika ini, sebenarnya ia sudah mula berkurang secara mendadak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 yang dikeluarkan semalam menyebut berlaku beberapa kelemahan pengurusan pembayaran balik khas GST yang kurang cekap seperti proses menyemak dan meluluskan jumlah tuntutan yang kurang teliti.Dalam tempoh pengauditan yang dijalankan antara Oktober 2015 dan Januari 2016, laporan itu juga menyebut berlaku kesilapan pengiraan amaun yang diluluskan membabitkan RM570,000 untuk 13 kes (3.7 peratus) daripada 346 sampel yang diaudit. Sehingga 31 Mei 2016, sebanyak 1,863 (73.3 peratus) permohonan siap diproses manakala 677 (26.7 peratus) permohonan dengan tuntutan berjumlah RM555.86 juta masih belum siap diproses.



Othman juga berkata, kerajaan sentiasa berusaha melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera untuk menyertai pelbagai bidang perniagaan yang boleh membantu merancakkan ekonomi negara. Antara usaha berkenaan adalah dengan memberi peruntukan dana pinjaman kepada agensi tertentu termasuk TERAJU, Majlis Amanah Rakyat serta Tekun, bagi membolehkan lebih ramai usahawan baharu dilahirkan. Pada majlis itu, 75 syarikat termasuk usahawan terpilih menerima dana bantuan daripada Teraju bagi meningkatkan produktiviti perniagaan mereka seperti menambah hasil pengeluaran bagi tujuan pasaran dalam dan luar negara.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...