Thursday, April 14, 2016

PEMBAYARAN CUKAI SECARA ELEKTRONIK TERUS MENINGKAT


Pembayaran cukai secara elektronik mencatatkan peningkatan konsisten berbanding pembayaran di kaunter, sekali gus membantu meningkatkan hasil kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar, berkata ia meningkat daripada hanya 406,074 transaksi pada 2013 kepada 987,655 transaksi pada 2014 dan seterusnya mencecah 1.83 juta transaksi, pada tahun lalu.

Dari segi jumlah kutipan hasil, beliau berkata, ia merekodkan sebanyak RM36 bilion tahun lalu, berbanding RM34 bilion pada 2014 dan RM26 bilion pada 2013.

"Prestasi kutipan memberangsangkan itu jelas menunjukkan masyarakat hari ini menginginkan satu perkhidmatan yang bukan sahaja cekap dan efektif, tetapi juga mudah, cepat, pintar, dan boleh dipercayai.

Kutipan memberangsangkan
"Dalam erti kata lain, masyarakat inginkan agensi kerajaan dapat memberi perkhidmatan terbaik melalui penggemblengan tenaga, sumber dan masa yang minimum," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pembayaran cukai menerusi i-TAP dan pemeteraian perjanjian usaha sama strategik Bank Islam dengan LHDN di Kuala LUmpur, semalam.

Teks ucapan Syukor dibacakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Datuk Sabin Samitah.

Syukor menambah, shingga kini, LHDN sudah memperkenalkan 16 Perkhidmatan Elektronik yang terangkum di bawah aplikasi ezHasil.

Katanya, perkhidmatan berkenaan bukan saja memberikan kemudahan kepada pembayar cukai, malah merapatkan jurang hubungan antara LHDN dengan pengguna.

"Sehingga kini, LHDN juga mempunyai 15 ejen kutipan yang terdiri daripada bank tempatan dan bank asing serta Pos Malaysia Berhad.

"Ejen berkenaan menawarkan perkhidmatan menerusi kaunter, secara atas talian menerusi perbankan internet, mesin ATM, mesin deposit, cek atau tunai dan terkini menerusi i-TAP,"katanya.


BAYARAN CUKAI KINI LEBIH MUDAH

Kini anda boleh membuat bayaran hingga 18 jenis cukai di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia melalui Perbankan Mudah Alih  i-TAP  di mana sahaja



    

Sumber : Facebook Lembaga Hasil Dalam Negeri

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...