Wednesday, May 27, 2015

Malaysia perlukan 60,000 akauntan menjelang 2020



WAHID: Kini terdapat kira-kira 30,000 profesional perakaunan di Malaysia, 28 peratus daripadanya adalah akauntan bertauliah. - Gambar Fail

SHAH ALAM: Malaysia perlu menggandakan jumlah akauntannya kepada 60,000 dalam usaha untuk membantu transformasi kepada negara maju menjelang 2020, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Menurutnya, perakaunan adalah satu daripada bidang utama yang negara ini masih kekurangan dan sektor awam serta swasta perlu memastikan permintaan yang dipacu pertumbuhan stabil dan kukuh Malaysia dapat dipenuhi.

"Kini terdapat kira-kira 30,000 profesional perakaunan di Malaysia, 28 peratus daripadanya adalah akauntan bertauliah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran dua memorandum persefahaman (MoU) di kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

MoU terbabit adalah di antara Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), UiTM dan dua badan perakaunan profesional, iaitu Akauntan Awam Bertauliah (CPA) Australia dan Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA).

MoU pertama di antara TalentCorp, UiTM dan CPA Australia akan membolehkan 300 penuntut perakaunan di UiTM memulakan perjalanan kelayakan profesional mereka dengan menduduki satu peperiksaan profesional di bawah program CPA ketika mengikuti program ijazah mereka.

Sementara itu, MoU kedua di antara TalentCorp dan CIMA adalah kerjasama industri-ahli akademik di mana majikan yang mengambil bahagian dan TalentCorp akan menyokong 200 pelajar perakaunan Malaysia di universiti tempatan menjalani latihan amali dan menduduki peperiksaan profesional CIMA.

Ketika menggesa lebih ramai graduan perakaunan mendapatkan kelayakan perakaunan profesional, Abdul Wahid berkata: "Usaha kerajaan melahirkan graduan yang sesuai dengan industri adalah untuk memastikan bakat muda Malaysia mampu menembusi pelbagai peluang pekerjaan pendapatan tinggi berikutan daripada transformasi ekonomi negara.

"Meningkatkan kemahiran graduan kita dengan kelayakan profesional yang diiktiraf industri akan membantu bakat Malaysia merealisasikan potensi mereka," katanya.

Sebelum itu, Abdul Wahid melancarkan Zon Pembabitan Industri (Ind-E-Zone) di kampus UiTM Puncak Alam, yang bertujuan menangani ketidakpadanan kemahiran di antara graduan baharu dan permintaan industri di samping memperkasa pelajar agar lebih bersedia untuk alam pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican berkata, program meningkatkan perakaunan profesional itu serta pusat Ind-E-Zone adalah sebahagian usaha TalentCorp untuk meningkatkan kebolehpekerjaan graduan melalui kerjasama ahli akademik industri.

Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, Ind-E-Zone akan membantu merapatkan jurang di antara ahli akademik dan industri berkenaan serta meningkatkan kebolehpekerjaan pelajar.

"Ditambah dengan MoU dengan TalentCorp dan CPA Australia, ia akan meningkatkan jumlah akauntan bertauliah berdaftar di kalangan Bumiputera yang kini hanya lapan peratus," katanya.

Dalam ucapan alu-aluannya, Sahol berkata, UiTM selain daripada CPA dan CIMA, telah bekerjasama dengan badan perakaunan profesional seperti Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dan Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW).

SUMBER DARI: ASTRO AWANI

Wednesday, May 13, 2015

Datuk Seri dilepas

Petaling Jaya: Mahkamah Sesyen di sini, semalam melepas tanpa membebaskan pengasas produk kecantikan, Seri Udani Beauty, Datuk Seri Udani Mohd Noor daripada pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan RM2.9 juta antara Jun 2013 dan April tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin memaklumkan surat representasi yang dihantar tertuduh kepada pejabat Peguam Negara memohon mengkaji semula pertuduhan dihadapinya diterima. Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, surat representasi yang bertarikh 17 April itu membenarkan permohonan tertuduh, justeru, Seri Udani dibebaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Seri Udani, 33, sebagai pengarah syarikat Seri Udani Beauty Sdn Bhd didakwa memasukkan wang hasil jualan syarikat RM2,931,040 juta ke dalam akaun peribadinya. Wang itu sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun syarikat. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di premis perniagaan di Jalan PKU 5/20A, The Strand Kota Damansara antara 12 Jun 2013 sehingga 7 April 2014. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Seri Udani yang ditemui di luar mahkamah selepas prosiding tamat berkata, beliau bersyukur kerana permohonan representasi pada 17 Februari lalu untuk mengkaji semula pertuduhan diterima. “Alhamdulillah, itu saja yang mampu saya cakap selepas dibebaskan daripada pertuduhan ini,” katanya.Sebelum ini, wanita itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini pada 9 Oktober lalu. Mahkamah membenarkannya diikat jamin RM30,000.


SUMBER DARI: MYMETRO 

Sunday, May 10, 2015

Ringgit catat prestasi terbaik

KUALA LUMPUR 1 Mei – Peningkatan harga minyak dunia yang kini mencecah paras AS$65.84 (RM230.44) setong, meningkat hampir AS$10 (RM35) setong berbanding pada akhir Mac lalu, mendorong ringgit mencatatkan peningkatan bulanan tertinggi sepanjang April iaitu prestasi terbaiknya sejak lebih tiga tahun.
Ringgit semalam ditutup pada RM3.56 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding RM3.70 yang didagangkan pada 31 Mac lalu, sekali gus menjadi mata wang Asia paling kukuh sepanjang April.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan harga minyak memainkan peranan penting memandangkan sebarang peningkatan harga minyak dunia mampu menyokong pendapatan kerajaan serta sektor minyak dan gas (O&G).

Syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) juga hanya akan membayar dividen sebanyak RM26 bilion kepada kerajaan secara berperingkat bagi tahun kewa­ngan 2014, berbanding RM27 bilion bagi tahun kewangan sebelumnya. Syarikat itu sebelum ini menjangka hanya mampu memberi sumbangan dividen RM17 bilion bagi tahun kewangan 2015 jika harga purata minyak tahun ini berlegar sekitar AS$75 (RM270) setong. Sementara itu, mengikut laporan Bloomberg, Ketua Tukaran Wang Asing dan Pendapatan Tetap Macquarie Bank Ltd. yang berpangkalan di Singapura, Nizam Idris berkata, perkembangan harga minyak merupakan faktor penting yang menentukan prestasi ringgit. 

 
“Bagaimanapun masih terdapat risiko yang boleh menurunkan kembali nilai ringgit jika bank pusat AS menaikkan kadar faedah negara itu yang sekali gus boleh mengukuhkan kembali dolar AS,” katanya kepada Utusan Malaysia. Hampir 30 peratus pendapatan kerajaan ketika ini disumbangkan oleh sektor O&G. Beberapa penganalisis sebelum ini mengaitkan penurunan nilai ringgit akibat kejatuhan harga minyak dunia yang menyusut lebih 50 peratus dalam tempoh enam bulan dari Jun 2014 hingga awal 2015.

Sumber Dari: Utusan Online


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...